AMAN Malaysia ingati tragedi Hiroshima

July 13, 2009 by admin  
Filed under Featured

WALAUPUN satu dekad sudah berlalu, masih teringat betapa sayu dan sedihnya perasaan ketika memasuki kawasan tugu peringatan Hiroshima, di Jepun, ketika membuat liputan Sukan Asia di negara Cahaya Matahari Terbit itu pada 1994.

Kesedihan dan kesayuan yang sama turut dirasa ketika menjejakkan kaki di Pearl Harbour, Hawaii, dan tugu memperingati tentera Amerika Syarikat (AS) yang terkorban dalam peperangan Vietnam, di Washington.

Masih sukar untuk menerima hakikat manusia sanggup berbunuhan sesama sendiri, apa lagi ada yang tergamak menggugurkan bom atom yang menjadikan dua bandar besar di Jepun ibarat padang jarak padang tekukur.

Walaupun sudah 60 tahun tragedi itu berlalu dan bandar raya Hiroshima juga sudah berubah wajah dengan kehidupan penduduknya kembali normal, setiap manusia yang hadir di kawasan peringatan Hiroshima akan tetap berlinangan air mata - terbayang penderitaan serta kejutan yang dialami 255,000 penghuninya ketika pesawat tentera AS menggugurkan bom atom jam 8.15 pagi, 6 Ogos 1945.

Ledakan itu dan satu lagi tiga hari kemudian di Nagasaki, bukan saja mengejutkan Jepun yang membawa kepada berakhirnya Perang Dunia Kedua, malah turut menggemparkan dunia, termasuk AS sendiri kerana tidak menyangka kemusnahan yang begitu dahsyat.

Bagi memperingati ulang tahun ke-60 tragedi itu, AMAN Malaysia dan Persatuan Doktor Perubatan Malaysia bagi Pencegahan Perang Nuklear (MMAPPNW) akan menganjurkan Perarakan Keamanan Hari Hiroshima, di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Perarakan sama turut diadakan di beberapa bandar utama dunia dan semua perarakan ini membawa mesejnya sama - ‘Hentikan peperangan, hapuskan nuklear, tindakan ketenteraan dan sebarang perlumbaan senjata’.

“Kejadian di Hiroshima adalah bukti kekejaman sesama manusia. Untuk mencapai aspirasi satu bangsa, lebih 100,000 manusia tidak berdosa menjadi korban hanya kerana satu bom atom.

“Tidak dapat dibayangkan kemusnahan yang mungkin dilakukan senjata nuklear yang 10 kali lebih ganas daripada bom atom di Hiroshima itu. Justeru, kita tidak boleh hanya duduk dan menunggu bencana seumpama berlaku, sebelum kita membuat keputusan sama ada perlu atau tidak untuk menghapuskan senjata nuklear,” kata Koordinator Aman Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir.

Ini adalah kali kedua AMAN Malaysia menganjurkan perarakan menentang kekejaman dan penentangan. Kali pertama adalah perarakan kempen anti Perang Iraq dua tahun lalu.

Fakta menunjukkan setiap peluru berpandu nuklear yang dihasilkan boleh menyebabkan kemusnahan 10 kali ganda daripada ledakan bom atom di Hiroshima. Ketika ini ada lebih 30,000 peluru berpandu nuklear berada dalam genggaman AS, Russia, Britain, Perancis, China, Israel, India, Pakistan dan mungkin di Korea Utara.

Antara negara terbabit, dua negara paling digeruni dunia - AS dan Russia - memiliki 95 peratus daripada jumlah senjata yang boleh memusnahkan umat manusia secara besar-besaran dalam tempoh hanya beberapa minit. Ada di antara peluru berpandu itu boleh dilancarkan dalam tempoh hanya 15 minit.

AMAN Malaysia yang mewakili rakyat Malaysia lain, menggunakan sambutan ulang tahun ke-60 ledakan bom atom di Hiroshima untuk meluahkan kekecewaan dan kekesalan terhadap sikap negara pemilik senjata nuklear yang langsung tidak menghormati perjanjian melucutkan senjata nuklear yang dipersetujui sebelum ini.

Bahkan lebih buruk, masing-masing semakin berlumba untuk memoden dan mencipta lebih banyak senjata nuklear yang lebih canggih.

Sebagai contoh, British dan AS melanjutkan tempoh Perjanjian Pertahanan Bersama (MDA) yang awalnya ditandatangani pada 1958 selama 10 tahun lalu. Ini bermakna pakatan kedua-dua negara yang membenarkan masing-masing bertukar maklumat, di samping bertukar bahan dan peralatan dengan tujuan untuk memperbaiki reka cipta dan membangunkan senjata nuklear akan hanya tamat tempoh terkini pada 2014.

Perjanjian seumpama itu dengan jelas menentang Perjanjian Perlucutan Senjata Nuklear yang menjadi pegangan antarabangsa bagi memastikan teknologi senjata nuklear tidak bercambah.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, sikap hipokrit kuasa nuklear dunia itu langsung tidak membantu dunia untuk menghapuskan senjata paling berbahaya itu.

Kerisauan warga dunia melihat perkembangan tidak sihat itu diburukkan lagi dengan sikap pelbagai negara dunia yang tidak mampu menghasilkan sendiri senjata nuklear itu, tapi berlumba untuk memilikinya.

Akibatnya, pemilikan senjata nuklear oleh pelbagai negara - baik secara langsung atau tidak langsung - bukan saja menggugat keharmonian sesama manusia, bahkan mencipta sikap saling tidak mempercayai dan ancaman peperangan boleh tercetus pada bila-bila masa.

Bayangkan, jika sebutir bom nuklear yang berkuasa 20 megaton meledak di Kuala Lumpur - ledakan yang hampir sama kuatnya dengan bom atom yang memusnahkan Hiroshima - sudah pasti Kuala Lumpur akan menjadi padang jarak padang tekukur.

Gambaran ini bukan sesuatu yang mustahil lagi. Jika Afghanistan dan Iraq boleh diserang dan dihancurkan hanya gara-gara memburu Osama bin Laden dan senjata pemusnah besar-besaran yang tidak ada, belum ada jaminan negara lain selamat.

Justeru, kesungguhan AMAN Malaysia yang amat serius dalam usaha memperjuangkan keamanan perlu diberi sokongan padu oleh setiap warga negara ini.

“Kami akan menggunakan setiap pentas yang ada untuk memastikan misi kami tercapai. Justeru, kami berharap Perarakan Keamanan Hari Hiroshima akan mengingatkan kita mengenai nilai kemanusiaan, sekali gus mendesak semua senjata nuklear dihapuskan.

“Mesej kami kepada pemimpin dunia amat jelas - bersatu dalam usaha melucutkan senjata nuklear demi keselamatan dan kesejahteraan generasi kita pada masa akan datang,” kata Mukhriz.

Oleh Jamhariah Jaafar
source from Berita Harian 04.07.2005

Enter Google AdSense Code Here

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!