Pengunduran Israel Dari Tebing Gaza Bukan Penamat Bagi Palestin – Mukhriz

July 13, 2009 by admin  
Filed under Featured

Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur –- Pengunduran Israel dari wilayah Tebing Gaza diharap tidak menjadi pengunduran terakhir mereka ke atas sebahagian wilayah Palestin yang lain seperti yang dipersetujui bersama dalam Perjanjian Oslo 1997.

Demikian menurut Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Menurut beliau dalam perjanjian tersebut, pengunduran di wilayah terbabit merupakan langkah awal sebelum ianya diperluaskan ke dua buah lagi wilayah iaitu Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

“Kita cukup khuatir jika Israel beranggapan pengunduran mereka dari wilayah tersebut adalah pengunduran terakhir dan tidak meliputi dua buah lagi wilayah yang terlibat.

“Ini kerana kita masih lagi belum mendengar Israel akan mengambil langkah yang sama untuk menyerahkan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur kepada Palestin”, katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terbaru di rantau Asia Barat yang menempa sejarah baru hari ini apabila Palestin menguasai semula Genting Gaza berikutan pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah berkenaan yang didudukinya selama 38 tahun.

Pengunduran Israel itu menandakan kali pertama pihak Palestin mengambil alih sebuah wilayah yang mempunyai sempadan yang jelas.

Sambil memberi contoh keraguan terhadap pengunduran terbabit dengan mendedahkan tindakan terbaru Israel yang memasuki beberapa kawasan lain di sekitar kawasan Tebing Barat minggu lepas, Mukhriz seterusnya menambah langkah tersebut menunjukkan Israel tidak ada perancangan untuk berundur sepenuhnya dari kawasan lain seperti yang terkandung dalam Perjanjian Oslo.

“Inilah yang meragukan kita. Sambil berundur mereka tetap menceroboh kawasan lain sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang menyebabkan mereka yang tidak berdosa terkorban”, ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan pergerakan itu ingin tahu status pengurusan ekonomi Palestin yang mana hari ini ianya dikawal oleh negara Yahudi terbabit.

“Seperti yang kita maklum kawasan sempadan luar negara Palestin dikawal sepenuhnya oleh Israel dan selagi mereka memegang peranan ini, ekonomi Palestin sudah pasti tidak akan dapat bergerak untuk melaksanakan perdagangan dengan negara luar.

“Justeru kita ingin tahu secara jelas supaya kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka turut meliputi sektor terbabit”, ujarnya.

source from www.pemuda.com.my

Enter Google AdSense Code Here

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!