Perarakan platform protes guna senjata nuklear - Mukhriz
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Rakyat Malaysia tidak wajar melepaskan peluang untuk menyertai perarakan Keamanan Hiroshima pada hari Sabtu depan kerana ia adalah platform menyuarakan penentangan terhadap penggunaan senjata nuklear oleh negara tertentu.
Penyelaras Pertubuhan Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia), Datuk Muhkriz Mahathir berkata, program itu juga adalah sebahagian daripada sumbangan Malaysia untuk mewujudkan protes yang sekata di peringkat global.
“Suara rakyat telah diketahui umum mempunyai kuasa tersendiri untuk mempengaruhi sesuatu polisi.
“Protes menentang pencerobohan Amerika ke atas Iraq yang berlangsung di seluruh dunia sehingga menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan adalah bukti kuasa suara rakyat,” katanya pada satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Perarakan yang bermula dari Padang Merbok ke Tasik Perdana itu adalah anjuran bersama Aman Malaysia dan Kumpulan Doktor Bagi Menentang Perang Nuklear Malaysia (PPNW).
Acara sempena ulang tahun ke-60 pengguguran bom atom di Hiroshima itu turut berlangsung serentak di 58 negara lain termasuk Jepun.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Presiden Bersama PPNW, Datuk Dr. Ronald McCoy dan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Abdul Rahman Dahlan.
Kata Mukhriz, sehingga kini sebanyak 3,000 orang ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinaungi Aman Malaysia telah mengesahkan penyertaan mereka.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan jumlah itu masih jauh daripada sasaran sebenar iaitu 5,000 peserta.
“Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa beberapa buah negara di rantau ini iaitu Pakistan, India, China dan kemungkinan besar Korea Utara telah memiliki senjata nuklear.
“Jika hanya satu bom nuklear yang dimiliki negara tersebut meletup, kesan radioaktif yang dihasilkan boleh merebak sehingga ke Malaysia.
“Walaupun ia bukan di bawah bidang kuasa kita, rakyat Malaysia perlu tampil menyatakan pendirian mereka,” tegasnya
source from Utusan Malaysia 04.07.2005






